Usul kecam Israel serlahkan ‘talam dua muka’
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) petang tadi menganggap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘talam dua muka’ dalam melayani protes rakyat serta pembangkang berhubung usul mengecam kezaliman zionis Israel menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Baginya usul yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat pagi tadi semata-mata untuk menonjolkan wajah positif Umno BN kononnya anti pada layanan zionis Israel ke atas umat Islam di Gaza.
Selain mahu dilihat positif oleh rakyat, beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, ucapan Najib dan Muhyiddin seakan mahu mengekalkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang nyata dilihat dunia sebagai proksi pada zionis Israel.
“Saya berasa tidak ada yang berbeza kecuali Najib dan timbalannya (Muhyiddin) cuba serlahkan dua wajah masing-masing atau talam dua muka,” ujarnya.
Pertama, menurut beliau, Najib mahu rakyat melihat kerajaan Umno BN bersama-sama mereka dalam menentang zionis Israel.
Kedua, katanya lagi, Najib mahu Amerika Syarikat melihat Malaysia kelak setia menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara hegemoni tersebut.
Kalau anggapan itu tidak benar, menurut Saifuddin, Najib sudah tentu bersedia menyahut cabaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul khas, iaitu pendirian Malaysia berhubung dasar-dasar luar dengan negara hegemoni AS.
“Anwar cabar dia (Najib) untuk menyatakan pendirian Malaysia dalam dasar-dasar luar seperti negara (Malaysia) dengan Amerika Syarikat juga merupakan sekutu kuat Israel zionis,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, sepatutnya Malaysia perlu menyatakan pendirian tegas terhadap hubungan tidak langsung Amerika Syarikat dan zionis Israel supaya tindakan negara itu mampu membantu dunia melemahkan zionis Israel di Gaza.
“Zionis Israel mungkin lemah di Gaza kalau tidak dengan sokongan diplomatik (serta) ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan itu yang wajar Malaysia pertegaskan dalam usul pagi tadi,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau mempersoal inti utama Najib, iaitu Turki digesa membawa zionis Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Buat apa Najib minta Turki pula yang membawa isu keganasan Israel ini ke ICJ, sedangkan kita hanya boleh buat lebih dari itu bekerjasama dengan Turki mengepalai dunia untuk menentang keganasan zionis Israel sekarang,” kata beliau lagi.
Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, Najib sehingga sekarang belum bersedia memutuskan hubungan korporatnya dengan firma perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) walaupun banyak pihak mendedahkan tentang keterlibatan agen zionis Israel dalam firma tersebut.
“Kalau APCO pun, Najib tidak bersedia dengan satu wajah yang jujur, tidak sukar bagi Najib serta timbalannya (Muhyiddin) untuk mempunyai dua wajah asalkan rakyat terus sokong Umno BN (dan) pihak luar terbabit boleh tolong tunjuk ajar kepada kita apa yang terbaik untuk kita,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan