Jumaat, 11 Jun 2010

Laman Rasmi Muktamar Tahunan PAS Kali ke-56

Tingkatkan kualiti gerak kerja PRU13 - PAS Kelantan
Jumaat, 11 Jun 2010 22:22 | Ditulis oleh Jabatan IT PAS Pusat | | |
PENGKALAN CHEPA, 11 Jun - Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 ini merupakan muktamar yang penting kerana ia boleh dikatakan muktamar terakhir bagi PAS sebelum menghadapi Pilihan Raya ke-13 yang dijangkakan tahun 2011 nanti.


Mohd Amar Abdullah, perwakilan Negeri Kelantan berkata Ucapan Dasar Presiden kali ini memberi penekanan kepada hala tuju, usaha serta pendekatan yang perlu dilakukan oleh semua ahli merangkumi aspek dalaman dan luaran parti, termasuklah isu tempatan mahupun antarabangsa sebagai persediaan menghadapi PRU13.


"Di bahagian akhir ucapan Dasar pula Presiden telah menyampaikan secara jelas satu seruan sebagai menyatakan harapan dan arahan yang perlu dilaksanakan bersama oleh ahli di semua peringkat bagi memastikan kemenangan dalam pilihanraya akan datang," tambah beliau.


Beliau perwakilan pertama membuka tirai perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada petang ini berkata, dalam menentukan masa depan dan survival politik PAS sebagai salah satu parti dalam Pakatan Rakyat, maka setiap ahli perlu meningkatkan kualiti dan gerak kerja untuk merealisasikan cita-cita besar dan murni parti iaitu menawan Putrajaya bermula dari sekarang.


"Impian menawan Putrajaya ini tidak mungkin boleh dicapai jika PAs tidak mempunyai persiapan rapi dan kemampuan yang cukup," ujarnya.


PAS Negeri Kelantan mengusulkan perhatian serius perlu diberi kepada usaha memperkukuhkan parti dan memperkasakan organisasi parti melibatkan semua peringkat dari pimpinan, ahli mahupun penyokong bagi membuktikan kemenangan mampu dicapai.


"Di samping itu, kefahaman ahli terhadap perjuangan sebenar PAs seterusnya perlaksanaan terhadap cita-cita yang telah disasarkan parti juga perlu dipertingkatkan,


"Penyusunan program-program untuk menyampaikan pemahaman yang tepat dan mendalam terhadap perjuangan PAS dapat mengatasi kepelbagaian pemahaman di kalangan ahli yang menyertai perjuangan PAS dengan semangat dan dorongan yang berbeza," tambahnya.


Program peningkatan kefahaman di kalangan ahli ini akan melibatkan ahli lama parti memandangkan cabaran politik berbeza masakini menuntut kepada keyakinan tinggi ahli terhadap parti dan perjuangannya bagi menjawab segala persoalan dari musuh politik.


"Ini dapat menyelaraskan tahap kefahaman ahli selain menjernihkan segala kekeliruan yang berlaku," jelasnya.


PAS Kelantan mencadangkan program terancang dijalankan di semua peringkat parti perlu memberi penekanan tentang perubahan pendekatan dalam politik semasa, terutamanya menyentuh soal hubungan PAS dengan rakan politik serta golongan bukan Melayu dan bukan Islam.


Tambahnya, program yang dijalankan juga perlulah secara menyeluruh dan tidak melupakan penyokong sedia ada dan para pengundi tradisi PAS.


"Kesilapan yang merugikan bahkan mencalar kredibiliti PAS di mata para pengundi seperti perbezaan dalam tafsiran dan pendapat yang ditonjolkan secara terbuka perlu dihindari," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan